Eksport kukuh, stok berkurang sokong prospek positif minyak sawit
24/08/2025 (Berita Harian), Kuala Lumpur - Industri minyak sawit Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh terdekat, dipacu eksport yang lebih kukuh serta inventori yang semakin berkurangan, kata Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa.
Beliau berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi pada paras antara RM4,200 hingga RM4,500 setiap tan, disokong ketidaktentuan perdagangan global serta dasar biobahan api Amerika Syarikat (AS) yang masih belum jelas.
Menurutnya, tarif import dan halangan perdagangan di ekonomi utama menjejaskan aliran minyak makan pesaing, menyebabkan bekalan ketat di pasaran antarabangsa. Keadaan ini meningkatkan premium risiko dan mendorong pembelian spekulatif, sekali gus menyokong momentum harga MSM.
"Sebagai contoh, tindakan China mengenakan duti antilambakan ke atas kanola Kanada melonjakkan harga niaga hadapan minyak biji sesawi di bursa tempatan. Kenaikan itu segera memberi kesan kepada minyak sawit apabila pedagang menyusun semula kedudukan mereka dalam pasaran minyak sayuran," katanya.
Sathia menjelaskan, perubahan dasar biobahan api AS menerusi program insentif cukai 45Z memberi keutamaan kepada stok suapan domestik, khususnya minyak kacang soya untuk biodiesel. Kenaikan harga minyak kacang soya itu seterusnya mengukuhkan harga minyak sawit di pasaran global.
Beliau turut menegaskan, eksport minyak sawit Malaysia dijangka terus kukuh menjelang musim perayaan di India. Permintaan bermusim daripada negara itu dijangka memberikan sokongan kepada prestasi eksport dalam beberapa bulan akan datang.
Menyentuh isu inventori, beliau berkata stok lebih dua juta tan ketika ini adalah kesan sementara daripada imbangan penawaran dan permintaan. Dengan keluasan tanaman sawit di Malaysia yang statik sekitar lima juta hektar sejak 2012, pengeluaran dijangka memuncak tidak lama lagi sebelum berkurangan pada suku keempat 2025 sejajar dengan corak bermusim.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebelum ini melaporkan stok minyak sawit negara meningkat lima bulan berturut-turut sehingga Julai, mencecah 2.11 juta tan – paras tertinggi dalam hampir dua tahun.