PALM NEWS MALAYSIAN PALM OIL BOARD Sunday, 24 Nov 2024

Total Views: 172
MARKET DEVELOPMENT
Tindakan tegas jual produk berlabel tanpa minyak sawit, 'palm oil free'
calendar11-03-2024 | linkHarian Metro | Share This Post:

10/03/2024 (Harian Metro), Kuala Lumpur - Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati menjual produk berlabel 'tanpa minyak sawit' iaitu pelabelan atau penggunaan label yang bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, justeru, pihaknya akan mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

 

Menurutnya, penguatkuasaan perlu dilakukan terhadap produk yang bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit yang juga bahan pengeluaran negara mengikut akta sedia ada.

 

"Kita nampak produk import daripada luar yang tiada kena mengena dengan kelapa sawit tetapi pembungkusannya ada tulis tidak ada minyak sawit atau palm oil free.

 

"Tidak boleh diskriminasi produk kita, kita ada undang-undang dan di Indonesia tiada produk seperti ini tetapi kita banyak premis yang bawa produk (dengan label) bebas minyak sawit," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Label Minyak Masak Saji Baharu dengan Logo pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Wangsa Maju, di sini.

 

Katanya, negara sudah mempunyai undang-undang untuk memastikan tiada diskriminasi terhadap produk negara khususnya minyak sawit yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000.

 

"Tetapi kita tak buat perkara itu, akta sudah ada jadi saya akan berbincang dengan KPDN (kerana) mereka ada penguat kuasa untuk melakukan tindakan penguatkuasaan di premis.

 

"Kita juga akan bekerjasama dengan pihak Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) untuk penguatkuasaan di pelabuhan (terhadap produk diskriminasi minyak sawit yang dibawa masuk melalui laut)," katanya.

 

Untuk rekod, pelabelan atau penggunaan label yang bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit adalah dilarang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1068441/tindakan-tegas-jual-produk-berlabel-tanpa-minyak-sawit-palm-oil-free