PALM NEWS MALAYSIAN PALM OIL BOARD Tuesday, 16 Jul 2024

Total Views: 178
MARKET DEVELOPMENT
Kadar ses semasa RM16 setiap tan pengeluaran CPO, CPKO
calendar25-05-2023 | linkHarakah Daily | Share This Post:

24/05/2023 (Harakah Daily), Kuala Lumpur - Ses merupakan bayaran yang dikenakan kepada industri sawit oleh kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

 

Katanya, kadar ses semasa adalah sebanyak RM16 bagi setiap tan pengeluaran Crude Palm Oil (CPO) dan Crude Palm Kernel Oil (CPKO) di mana pengeluaran CPO dan CPKO dianggarkan sebanyak 20 juta tan setahun.

 

“Hasil kutipan ses sawit ini akan dibelanjakan sepenuhnya untuk pembangunan dan kawal selia industri,” kata KPK dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

 

Ustaz Kamal dalam soalannya meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah perincian pecahan aktiviti dan insentif balik yang telah dijalankan kerajaan melalui hasil kutipan ses daripada hasil sawit yang telah lama dikenakan oleh pihak MPOB.

 

Secara umumnya, ujar KPK hasil kutipan ses sawit diperuntukkan bagi pengoperasian agensi dengan agihan mengikut tiga aktiviti utama iaitu penyelidikan dan pembangunan sebanyak 50 peratus dengan anggaran RM168 juta, pentadbiran sebanyak 30 peratus dengan anggaran sebanyak RM100 juta dan perkhidmatan sebanyak 20 peratus dengan anggaran sebanyak RM54 juta.

 

Katanya lagi, Kumpulan Wang Galakan Minyak Sawit (POPF) juga diwujudkan melalui hasil kutipan ses sawit bagi tujuan pembiayaan aktiviti-aktiviti berkaitan promosi minyak sawit di peringkat domestik dan antarabangsa.

 

“Selain daripada itu, peruntukan POPF turut digunakan oleh Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bagi tujuan pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

 

https://harakahdaily.net/index.php/2023/05/24/kadar-ses-semasa-rm16-setiap-tan-pengeluaran-cpo-cpko/