Harga sawit dijangka pulih separuh kedua 2020
01.07.2020 (Berita Harian) - KUALA LUMPUR: Harga sawit akan pulih pada separuh kedua tahun ini berikutan peningkatan permintaan global dan pengurangan output, hanya beberapa bulan selepas COVID-19 menjejaskan aliran kenaikan komoditi itu.
Permintaan bagi minyak masakan paling banyak digunakan itu dijangka pulih apabila perintah berkurung di seluruh dunia mula dilonggarkan manakala pengguna utama, termasuk China dan India, meningkatkan pembelian untuk mengisi semula stok.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengunjurkan harga sawit akan mencecah RM2,594 satu tan pada separuh kedua dan purata RM2,337 satu tan tahun ini, jika Indonesia dan Malaysia meneruskan mandat adunan biodiesel seperti dirancang, sambil pengeluaran minyak sayuran Eropah berkurangan, yang merintis jalan kepada pembeli untuk beralih kepada sawit.
Niaga hadapan penanda aras di Malaysia yang kini berada sekitar RM2,318, mula meningkat pada akhir 2019, sebelum COVID-19 menjejaskan permintaan, pada awalnya di China dan kemudiannya di negara pengguna lain, apabila kerajaan menutup sempadan manakala perniagaan dihentikan bagi menghalang penyebaran pandemik.
Berdepan ketidaktentuan yang tidak pernah dihadapi sebelumnya, harga sawit menjunam pada Januari ke paras terendah 10 bulan RM1,946 satu tan 6 Mei lalu, ketika penghasilan buah sawit meningkat, stok bertambah manakala program biodiesel di Indonesia dan Malaysia terpaksa dipantau rapat.
Penganalisis veteran, Dorab Mistry menganggap ini 'musim yang sukar' bagi sawit.
Harganya merosot 23 peratus setakat tahun ini, berbanding penurunan 18 peratus pesaingnya, minyak kacang soya.
Kebimbangan terhadap gelombang baharu jangkitan COVID-19, lanjutan perintah berkurung di sebahagian negara dan kemunculan semula pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mungkin akan menyelubungi tinjauan harga sawit.
Antara faktor yang akan diperhatikan oleh peserta industri adalah impak musim kemarau dan penggunaan baja yang dikurangkan oleh peladang tahun lalu akan berlanjutan ke 2020, sekali gus menjejaskan pengeluaran buah sawit.
-Bloomberg